Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan yakin akan menang lebih banyak kerusi berbanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti kerana pengundi memahami proses transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha transformasi yang telah dilaksanakan kerajaan dalam tempoh empat tahun kini mampu mengubah persepsi pengundi.

"Kita yakin orang di Wilayah Persekutuan orang yang bermaklumat, tahu apa yang berlaku di dalam kerajaan dan parti.

"Saya percaya mereka melihat apa dilakukan kerajaan dan impak usaha itu kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan 13 calon BN Wilayah Persekutuan, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jentera Pilihan Raya BN berharap calon-calon BN yang akan bertanding nanti akan menunjukkan sikap terpuji cuba memenangi hati pengundi.

"Jangan sombong, selalu senyum, genggam erat tangan apabila bersalaman, pandang mata pengundi ketika bersalaman dan dengar rintihan mereka betul-betul," katanya.

Dalam pilihan raya umum 2008, BN hanya menang 3 daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan.

Dalam pilihan raya kali ini, BN mengekalkan hanya seorang calon yang bertanding lima tahun lalu dan menampilkan 12 muka baru.

Calon yang kekal ialah bekas ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya mengenai keputusan BN meletakkan 12 muka baru, Muhyiddin berkata mereka memberi nafas baharu kepada BN kerana jangkaan pengundi kini sudah berubah.

Jelas beliau, calon lama yang digugurkan itu bukanlah kerana mereka tidak mampu menang tetapi BN mengambil kira kehendak pengundi yang inginkan perubahan.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yakin akan dapat merampas kerusi Parlimen Lembah Pantai berdasarkan usaha berterusan beliau menjaga kebajikan dan meningkatkan perkhidmatan di kawasan itu.

Beliau dijangka berdepan penyandang kerusi itu, yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, BN meletakkan anak bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho, Tan Kok Eng sebagai calonnya di Bandar Tun Razak.

Katanya, beliau akan mendapatkan panduan dan nasihat daripada bapanya yang juga bekas ahli Parlimen di kawasan itu untuk mencari sokongan pengundi.

"Kami akan bersama-sama turun bertemu pengundi di sana," katanya yang bakal melawan calon Parti Keadilan Rakyat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam pada itu, Nicole Wong Siaw Ting, 33, yang baharu saja habis pantang bersalin selepas melahirkan bayi lelaki keduanya, siap sedia mencabar penyandang kerusi Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim daripada DAP.

"Saya tahu masyarakat di sini mahukan pemimpin yang sentiasa ada di kawasan sepanjang masa," katanya.

Berikut ialah senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan yang diumumkan oleh Muhyiddin hari ini.

1. Kepong: Datuk Chandrakumanan Arumugam (PPP)
2. Batu: Dr Dominic Lau Hoe Chai (Gerakan)
3. Wangsa Maju: Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah (Umno)
4. Segambut: Jayanthi Devi Balaguru (Gerakan)
5. Setiawangsa: Datuk Ahmad Fauzi Zahari (Umno)
6. Titiwangsa: Datuk Johari Abdul Ghani (Umno)
7. Bukit Bintang: Frankie Gan Joon Zin (MCA)
8. Lembah Pantai: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Umno)
9. Seputeh: Nicole Wong Siaw Ting (MCA)
10. Cheras: Teoh Chee Hooi (MCA)
11. Bandar Tun Razak: Tan Kok Eng (MCA)
12. Putrajaya: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Umno)
13. Labuan: Rozman Isli (Umno)