Tutup

Charles diingat jangan biadab dengan Tun Mahathir - Armada Lumut

Charles diingat jangan biadab dengan Tun Mahathir - Armada Lumut
AKMAL: Apakah Santiago ini amat malas membuat kajian atau bertanyakan kepada pimpinan DAP sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasminya? - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Charles Santiago diingatkan supaya jangan biadab dengan menuduh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir kononnya membuat keputusan secara bersendirian berkaitan dengan pentadbiran kerajaan termasuklah dalam isu tulisan Jawi dan seni Khat di sekolah.

Ketua Armada Bersatu Lumut, Akmal Maradzi menegaskan, tindakan pemimpin DAP itu tidak bertanggungjawab sekali gus menunjukkan Ahli Parlimen Klang itu bukan sahaja gagal memahami tatacara pentadbiran tetapi juga cuba mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).
“Armada Bersatu Lumut melihat tindakan Santiago ini sebagai amat biadab dan tidak mengetahui hal pentadbiran kerajaan sedangkan setiap keputusan dibuat hendaklah melalui Kabinet dan Majlis Pimpinan Presiden (MPP) PH," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

BACA: Rakyat tolak PH pada PRU15 jika ramai pemimpin macam Santiago - Khairuddin
BACA: 
12 NGO setuju hanya seni tulisan khat diperkenalkan tahun depan

Pada Isnin, Santiago dalam satu catatan di laman Facebook rasminya, berkata situasi sekarang menunjukkan seolah-olah Dr Mahathir bertindak sendirian, walaupun datang dari parti yang dikira minoriti dalam Pakatan Harapan.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk menilai kembali proses membuat keputusan dalam kalangan Majlis Presiden PH.

Ia dijawab Dr Mahathir dalam nada sinis yang menyifatkan kedudukan Santiago ketika ini ‘setaraf’ dengan dirinya.

BACA: Charles Santiago kini setaraf dengan sayakah? - Tun Mahathir

BACA: Tun Mahathir tidak boleh terus buat keputusan sendirian - Charles Santiago

Pada masa sama Akmal turut menempelak Santiago dengan mempersoalkan tindakannya yang
tidak merujuk dahulu dengan pimpinan DAP sebelum melontarkan tuduhan tidak berasas tersebut.

"Apakah Santiago ini amat malas membuat kajian atau bertanyakan kepada pimpinan DAP sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasminya?

"Isu tulisan jawi dan khat ini diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang mana ada angotanya adalah daripada parti DAP.

“Apakah kerana sikap rasis, dia cuba menutup fakta itu?” soalnya.

Akmal turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Santiago yang seolah-olah bermotifkan politik dengan menghasut rakyat khususnya bukan Islam untuk menolak usaha kerajaan melaksanakan tulisan Jawi dan seni khat di sekolah.

Dalam kontroversi pengenalan tulisan khat Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia Tahun 4, Santiago turut berkata Dr Mahathir dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sepatutnya menyedari sensitiviti isu itu sebelum mengumumkannya.

Jelasnya, terlalu banyak masa dibazirkan memperdebatkan isu khat itu sedangkan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada isu ekonomi.

Terdahulu, Akmal menghadiri Program Korban Perdana Bersatu Bahagian Lumut di Seri Manjung.


Tag: Mahathir Mohamad, DAP, Pakatan Harapan, Facebook, NGO, Islam, Jawi, Parlimen, Maszlee Malik, sekolah, kabinet



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.