Dakwaan bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar yang bertindak hanya mengikut arahan dianggap "mengarut" oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sejurus selepas memberikan ucapan Tahun Baru Cina, wartawan mengajukan soalan tentang beberapa dakwaan Sirul termasuk “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Najib pada mulanya menggelengkan kepala berkali-kali dan mula beredar tetapi apabila diasak wartawan, beliau kemudiannya menjawab “mengarut” sambil tersenyum.

Sementara itu pada Rabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Sirul berhak membuat pendedahan mengenai pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Itu hak dia. Saya tak tahu apa yang dia nak dedahkan, macam mana saya nak tahu ia baik atau buruk," katanya dalam satu sidang media.

Sirul yang kini berada di Australia dalam satu temubual bersama Malaysiakini mendakwa dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya masih bebas.