Orang Melayu harus menelan hakikat bahawa jurang perpecahan dalam kalangan kaum itu semakin melebar, dengan lahirnya fahaman-fahaman politik, ideologi dan pelbagai pemikiran baharu serta bercelaru.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan situasi itu tidak memberi apa-apa kelebihan kepada orang Melayu dan umat Islam secara umumnya.

“Perbezaan yang pada asalnya merupakan suatu rahmat boleh bertukar menjadi ancaman kepada umat Islam,” katanya semasa berucap merasmikan Multaqa Perundangan dan Politik Majlis Perundangan Islam (MPI) di sini, hari ini.

Tambahnya, perpaduan tidak semestinya dengan hanya penggabungan parti politik sahaja tetapi juga melalui agenda kebersamaan melalui pelbagai cara yang disepakati.

Katanya, teras penyatuan umat Islam yang paling utama adalah pegangan kita terhadap akidah ahli sunnah wal jamaah dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

"Kita mahu supaya jangan ada prasangka dan prejudis kerana kita mahu hasrat kebersamaan ini dapat diterjemahkan," katanya.

Pada masa sama, orang Islam juga tidak perlu gusar dalam usaha memartabatkan Islam kerana hanya orang Islam yang berhak menentukan acuan Islam itu sendiri.