UMNO tetap relevan walaupun banyak parti lain di dunia ini sudah tidak wujud lagi selepas beberapa dekad kewujudannya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia membuktikan parti keramat orang Melayu itu kekal utuh walaupun beberapa kali diuji.

Jelasnya, UMNO merupakan parti yang menuntut kemerdekaan negara dan tidak lemah dengan serangan pembangkang.

"Hendak menuding jari memang mudah tetapi kita akan perkuatkan UMNO secara berperingkat.

"Saya sentiasa ingatkan UMNO, kelemahan pembangkang bukan bermakna kita kuat. Yang penting kita perkuatkan parti di semua peringkat -- di Dungun, Kuala Krai, Sembrong, Bagan Datuk, Pekan -- itu kekuatan kita.

"Sekiranya kita tidak jaga rumah tangga kita, bagaimana kita hendak kata kita kuat walaupun di sebelah sana ribut," katanya ketika sidang media menjelang Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71.

BACA: UMNO perlu kembali kepada rakyat - Hishammuddin

BACA:
Tengku Razaleigh Hamzah: 10 perkara UMNO perlu laksana untuk terus relevan

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas berkata, perwakilan UMNO perlu memandang ke hadapan dengan memahami pola tingkah laku dan gelagat sosial masyarakat untuk memastikan parti kekal relevan daripada asyik bernostalgia mengenai bekas pemimpin parti.

Beliau yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti berkata adalah lebih baik jika perwakilan UMNO tidak lagi meng'hero'kan bekas pemimpin parti selepas ini.

Dalam pada itu, tegas Hishammuddin, pendekatan sayap parti juga sudah berubah seiring perubahan zaman.

"Mungkin zaman sudah berubah, tanggungjawab bukan lagi atas bahu Pemuda dan Puteri sahaja, ini kita sedang lakukan oleh Wanita di bawah Jalinan Rakyat Plus (JR Plus)," jelasnya.

"Bagaimanapun hasilnya akan diketahui selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan JR Plus pada 15 April lepas di PWTC.

Sebelum ini, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, JR Plus diyakini akan menambah kekuatan jentera politik UMNO dan BN berlipat kali ganda dengan penyertaan gabungan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti komponen BN.

Tegas Shahrizat, gabungan jentera yang dikemudikan Wanita UMNO itu akan membakar dan memastikan dapat mengembalikan sokongan rakyat lebih kuat kepada BN sekali gus memenangi PRU akan datang.

BACA: UMNO boleh terus kekal jadi tunjang pemerintahan negara - Hussein Ahmad

BACA:
UMNO catat jumlah keanggotaan baharu luar biasa - Ab Rauf

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata UMNO diakui sebuah parti yang tidak sempurna tetapi terbaik dan telah diuji buat sekian kalinya.

"UMNO juga parti yang sanggup berkongsi kuasa dengan menggunakan formula BN. Dalam kerangka inilah UMNO dan BN mentadbir dan membina Malaysia semenjak kemerdekaan.

"Parti yang memperjuangkan kemerdekaan ini berusia 71 dan sudah disokong oleh tiga generasi. Kita akui UMNO tidak lagi boleh menyandarkan harapan untuk terus disokong semata-mata kerana kejayaan mencapai kemerdekaan.

"Sebaliknya UMNO perlu bangkit dan tampil sebagai jaguh yang memperjuangkan kehendak-kehendak baharu rakyat yang berteraskan Malaysia maju selari dengan kepesatan dunia," jelasnya.

Kata Bastien lagi, rata-rata generasi baharu di negara ini mempunyai pendidikan dan kelebihan berbanding negara lain.

"Ditambah dengan era maklumat di hujung jari, sudah tentu Malaysia memerlukan sebuah parti pentadbiran yang cekap, berpengalaman dan sedia mendengar tuntutan-tuntutan rakyatnya.

"Anak muda yang berpendidikan ini merupakan bukti kejayaan UMNO mentadbir negara dan sekiranya kita tidak mengurus kejayaan ini dengan baik, kita akan menerima padah daripada kejayaan yang kita cipta.

"Tuntutan-tuntutan mereka harus dipimpin dan dipenuhi dan UMNO komited apabila Datuk Seri Najib telah mencetus tanda aras 2050. UMNO menjadi lebih inklusif dan TN50 sebagai bukti pengabdian UMNO dan BN kepada generasi baharu," katanya.

Ujarnya, UMNO juga inklusif dengan jelajah Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mendengar pandangan dan rintihan anak muda bagi membina Malaysia 2050 seperti yang diimpikan mereka.

"Benarlah seperti yang diperkatakan Datuk Seri Hishammuddin, suara anak muda didengari dan BN akan terjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.

"Ini dilakukan oleh UMNO dan BN. Berbeza dengan pembangkang. Perjuangan mereka hanya berteraskan dan berlandaskan kemarahan rakyat.

"Cukup mudah untuk pembangkang menghasut dan membangkitkan api kemarahan. Kita perlu menyuruh mereka mendengar apa kemahuan orang muda. Kalau tidak dengar, bagaimana hendak tahu apa yang hendak dilaksanakan. Jangan sekadar tahu mengapi-apikankan dan membakar sentimen kebencian," tegasnya.