Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan memastikan proses peralihan kuasa Perdana Menteri berlaku dengan lancar dan tersusun, kata ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Namun, di sebalik sokongan itu, beliau berkata, kelewatan proses berkenaan, jika berterusan, akan menimbulkan keresahan, baik di dalam mahupun di luar negara.

“Kita kekal akur dan memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan bagi menjamin kelancaran pentadbiran.

“Namun, pada masa yang sama, spekulasi dan keresahan di luar sana juga merencatkan kestabilan ekonomi dan memberi ruang kepada musuh kita untuk merosakkan rancangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Akmal berkata, AMK yakin PKR kekal dengan janjinya dan beliau berterima kasih kepada pimpinan tertinggi Bersatu, Amanah dan DAP yang komited dengan agenda Pakatan Harapan.

Dalam ucapannya, Akmal turut mengingatkan perwakilan bahawa kemenangan yang dicapai Pakatan Harapan sewaktu pillihan raya umum yang lepas, bukanlah untuk dinikmati, tetapi untuk diteliti dan disematkan dengan semangat Reformasi.

“AMK kena sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang dengan berpegang teguh kepada prinsip dan asas perjuangan.

“Selepas setahun setengah wajarlah untuk kita bermuhasabah dan menilai sejauh mana pencapaian kita khususnya dalam mendepani nasib dan harapan golongan anak muda,” katanya lagi.