KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasir akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa berkaitan skandal penyelewengan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Laporan itu, katanya, akan menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff sebagai seorang yang terkait dengan skandal LCS sepertimana disebut dalam beberapa siri laporan.

“Nama Ahli Parlimen Mersing itu dinyatakan terkait menerusi Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen dan juga Laporan Pengauditan Forensik baru-baru ini.

“Laporan SPRM itu akan tertumpu kepada Akta SPRM 2009 dan membolehkan SPRM untuk menyiasat sekiranya terdapat sebarang kesalahan yang bersabit dengan kesalahan-kesalahan rasuah seperti di bawah Seksyen 16, Seksyen 17 (a), Seksyen 17 (b), Seksyen 18 dan Seksyen 23.

“Laporan SPRM esok juga akan mendesak supaya pihak SPRM mendedahkan pengiystiharan harta yang dibuat oleh Datuk Dr Abdul Latiff sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

BACA: Anwar gesa hentikan intimidasi terhadap Rafizi, persoal mengapa Dr Abdul Latiff tidak disiasat 

BACA: "Jika bukan intimidasi sila pulangkan telefon bimbit Rafizi" - Anwar 

Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut mempersoalkan apa yang akan terjadi seterusnya jika isu penyelewengan skandal LCS tidak ditentang dan diperjuangkan.

“Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sendiri tawarkan kepada menteri Perikatan Nasional (PN) tersebut untuk saman beliau, namun sehingga kini masih mengelak. Adakah skandal LCS akan berlalu begitu sahaja tanpa ada jerung yang dapat ditangkap?” soalnya.

Akmal dalam masa masa memaklumkan, PKR akan mengadakan satu sidang media pada 11 pagi Selasa di hadapan bangunan SPRM, Putrajaya selepas laporan dibuat.

Selasa lalu, pegawai Abdul Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

Pihak polis turut merampas satu unit telefon bimbit milik Rafizi untuk siasatan lanjut.