Calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah untuk mengisytiharkan harta.

Jelasnya, beliau sendiri telah melakukan perkara itu semasa menjadi exco Kerajaan Negeri Selangor.

Malah katanya, beliau hanya akan mengisytihar kereta miliknya sebagai tambahan kepada pengisytiharan harta yang dilakukan sebelum ini.

“Saya tiada masalah kerana sudah isytihar pun. Yang sudah ada terpampang, rakyat sudah tahu. Kereta Camry buruk saya sahajalah yang selepas jadi exco dilelongkan oleh kerajaan, itulah yang saya pakai sekarang. Itu sajalah kalau nak tambah. Kalau nak tahu nilainya, tahulah kereta 2013,” katanya dalam sidang media di Pusat Pentadbiran Pas Kawasan dan Pusat Khidmat Masyarakat PJ Selatan di sini hari ini.

Jelasnya, calon PH, Halimey Abu Bakar sepatutnya mengisytiharkan hartanya terlebih dahulu.

“Dia (Halimey) sahaja yang kena isytihar. Dia sebelum ini ahli majlis, maka adakah dia terlibat dalam kontrak, jadi untuk jadi wakil rakyat, maka rakyat berhak tahu serba serbi,” ujarnya.

Semalam, Dr Halimah mencabar Halimey untuk mengisytiharkan hartanya sebelum tiba hari pengundian.