Strategi kerjasama Pas-UMNO mungkin telah berjaya sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang lepas, tapi keadaan adalah berbeza bagi PRK Semenyih, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Menteri dalam Negeri itu berkata, Bersatu dan Pakatan Harapan tidak akan mengambil mudah keadaan itu, dan mereka akan merangka strategi sesuai bagi menidakkan faktor kerjasama itu, seterusnya mempertahankan kerusi DUN Semenyih.

“Pas dan UMNO ini mereka sudah berjaya pada PRK lepas,. Tapi situasi di Semenyih tak sama, dan keadaan di sini pun tak seperti di sana. Bagaimanapun kita tak ambil sikap mudah, kerana kalau benar mereka nak bergabung lagi kita akan ambil strategi yang perlu untuk menanganinya.

“Saya tak fikir ia (kerjasama Pas - UMNO) tak jadi isu besar bagi kita sebab kita tahu cara mereka dan sebagainya walaupun saya sedar, tidak semua katanya ahli Pas bersetuju dengan cara itu. Ada juga perpecahan dalam kalangan mereka kerana ada yang tak setuju dengan kerjasama UMNO. Tapi kita akan tengok,” katanya kepada sidang media di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata demikian selepas mengadakan siri pertemuan dengan pimpinan Bersatu Hulu Langat, ketua-ketua kampung, dan ketua-ketua pusat daerah mengundi di sini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, jentera pilihan raya mereka akan memperbanyakkan siri penerangan kepada pengundi di sini berhubung segala pencapaian kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan peringkat negeri.