Beberapa pemimpin parti pembangkang menggunakan peluang berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di sini pada Sabtu untuk mengutuk PAS yang mereka lihat enggan bekerjasama dengan mereka.

Walaupun pemimpin pakatan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu tidak menyebut secara langsung nama parti tersebut tetapi ia jelas merujuk kepada PAS berdasarkan kandungan ucapan mereka.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh mengkritik parti yang enggan bersama parti pembangkang yang lain untuk mengundi bagi membantah Bajet 2017 pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Parti yang tidak mahu bersama (dalam mengundi untuk) membantah bajet, parti yang itu kita perlu abaikan," katanya.

Isnin lepas, Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di peringkat dasar dengan mendapat jumlah undi yang besar daripada anggota Parlimen.

Rang undang-undang itu yang diluluskan melalui undian belah bahagian menyaksikan sebanyak 117 anggota Parlimen menyokongnya berbanding 70 yang menolak manakala 11 lagi tidak mengundi, yang dipercayai dalam kalangan anggota Parlimen PAS.

Wakil Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Asim Abdullah Ainullotfi, pula menyifatkan kelemahan gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP berpunca daripada beberapa pemimpin parti yang mempergunakan agama untuk kepentingan mereka.

"Saya kecewa apabila melihat Pakatan Rakyat hancur kerana wujudnya pemimpin yang tiada persefahaman. Pemimpin parti pembangkang ketika itu tidak mampu mengotakan janji, tidak mahu meneruskan agenda perjuangan dan memperjudikan agama untuk kepentingan peribadi," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dijemput berucap pada konvensyen itu pula melabelkan mana-mana pihak yang tidak menyertai dan menyokong Pakatan Harapan sebagai pemakan 'dedak' yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Dr Mahathir tidak menamakan pihak terlibat.

Sementara itu, sekumpulan pemuda mengadakan demonstrasi di pekarangan Pusat Konvensyen IDCC di sini, tempat konvensyen itu diadakan, sebagai tanda tidak puas hati terhadap PAS dan tidak mahu lagi kerjasama dengan parti itu.

Kumpulan itu dilihat memegang kain rentang bertulis 'Perkuatkan Pakatan Harapan Tanpa PAS' dan 'Sampai Bila Mahu Tunggu PAS, Kami Akar Umbi Sudah Bosan'.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata parti Islam itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan selagi DAP berterusan menentang hak umat Islam, terutamanya berkaitan isu Rang Undang-Undang 355.

Tuan Ibrahim turut menegaskan PAS juga tidak akan menyertai pakatan itu kerana pemimpin parti Amanah, yang merupakan serpihan PAS, telah mengheret anggota PAS, selain merosakkan parti itu berikutan mereka tidak terpilih dalam muktamar yang lepas. - BERNAMA