Pas negeri Pahang akan bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata pertambahan sembilan kerusi DUN itu daripada PRU13 merupakan komitmen bagi menunjukkan bahawa Pas mampu untuk memerintah negeri.

Rosli berkata, "Selepas Pas putus hubungan dengan DAP, Pas bebas bertanding di mana-mana kerusi yang ditandingi DAP," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pas Pahang 2017 di sini hari.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu.

"Jika Parti Amanah Negara (PAN) yang merupakan rakan Pakatan Harapan yang di dalamnya ada PKR dan DAP bertanding di sesuatu kawasan itu, maka kita (Pas) juga akan bertanding. Itulah yang menjadikan 30 kerusi," katanya. -- BERNAMA