Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tetap yakin dengan peluang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Namun begitu, beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu seluruh jentera parti bersiap sedia, apatah lagi PRK itu berkemungkinan ditandingi lebih daripada dua parti.

"Sokongan masyarakat Melayu di Semenyih masih kuat, tetapi kita perlu ingat mungkin ada lebih daripada dua parti yang bertanding. Jadi undi akan terpecah dua dan ia tidak bagus untuk sesetengah parti.

"Tetapi berdasarkan penilaian yang dibuat, PH masih ada peluang untuk menang," kata Tun Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, pada Selasa.

Dalam pada itu, Tun Mahathir menegaskan calon yang mewakili PH perlulah seorang yang sihat dan bijak.

“Dia juga kena ada sifat simpati kepada masyarakat, pemberita dan lain-lain,” katanya.