Kemenangan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson membuktikan Pakatan Harapan mendapat tempat di hati rakyat berbilang kaum di daerah itu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menyifatkan kemenangan itu suatu kemenangan unik.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong PRK Port Dickson yang membawa kepada kemenangan luar jangka tersebut.

"Kemenangan ini adalah kemenangan unik kerana kita mendapat sokongan padu daripada semua kaum yang ada di Port Dickson.

"Ia menunjukkan satu trend sokongan yang baru dan keyakinan rakyat kepada PH," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan pemilihan PKR, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, proses pemilihan parti masih berjalan dengan cukup baik.

Fasa pertama proses pemilihan PKR peringkat negeri Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi sebanyak 249,850 orang berlangsung pada Ahad di sembilan daripada 22 cabang negeri itu.