Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu sebulat suara bersetuju supaya jawatan presiden pada pemilihan PKR bulan depan tidak dipertandingkan, kata pengerusi PKR negeri Azan Ismail.

Beliau berkata keputusan tersebut sebagai sokongan bagi memberi laluan kepada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai presiden baharu untuk menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Azan berkata Anwar perlu diberi jawatan tertinggi dalam parti selepas mengambil kira kedudukan beliau sebagai calon Perdana Menteri yang bakal menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagaimana yang dipersetujui pimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat sebelum ini.

"Tidak timbul soal tidak demokrasi kerana konsensus itu sebenarnya adalah demokrasi tertinggi kerana ia dipersetujui dan disepakati semua pihak," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambahnya, Dr Wan Azizah dicadang supaya dilantik sebagai Ketua Umum PKR bagi menggantikan Anwar kerana sumbangannya kepada perkembangan parti sehingga memperoleh kejayaan seperti hari ini.

Azan berkata Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah lambang kejayaan wanita Malaysia yang hebat dan diyakini mampu memberi komitmen jika dilantik sebagai Ketua Umum PKR.

Dalam perkembangan lain, Azan berkata PKR Terengganu menyambut baik pelantikan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah sebagai senator Dewan Negara.

Katanya pelantikan itu diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu memandangkan tiada wakil rakyat daripada Pakatan Harapan yang memenangi kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Sekurang-kurangnya kita ada seorang wakil dari Terengganu seperti mana Kelantan. Cuma kita harapkan pada masa akan datang, kedudukan ini diperluaskan dan saya rasa tidak ada dalam kalangan kita yang tumpu pada jawatan untuk kepentingan peribadi.

"Kita harap peranan mereka yang telah dilantik dapat dimainkan secara berkesan dan di semua peringkat di Terengganu," katanya.

Dalam pada itu, Azan juga menafikan beliau terkilan atau berkecil hati dengan pelantikan itu kerana tidak pernah melobi bagi mendapatkan jawatan tersebut.

Semalam, Raja Kamarul Bahrin bersama tujuh individu lain mengangkat sumpah sebagai senator Dewan Negara dan beliau juga dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.