Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Dr Halimah Ali tidak menganggap Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jelasnya, istilah kubu kuat itu tidak wujud, sebaliknya beliau menekankan kepada semak dan imbang yang perlu ada pada sebuah parti untuk membela nasib rakyat.

"Tiada istilah mengatakan Seri Setia adalah kubu kuat (PKR) kerana Barisan Nasional adalah kubu kuat selama 60 tahun, tetapi sebab isu-isu rakyat dan orang muda tunjukkan pada PH apa yang perlu ditekankan.

"Bukan janji begitu manis sehingga orang tertarik untuk mengundi PH pada PRU14, kalau tidak memberikan semak dan imbang maka PH akan leka dan lena," katanya kepada media selepas pengumuman rasmi calon PRK Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yakin pengalamannya sebagai bekas exco kerajaan negeri dan ADUN Selat Klang akan memastikannya menjadi wakil rakyat yang mampu membawa suara pengundi ke peringkat tinggi.

Mengulas mengenai sokongan UMNO kepada Pas sepanjang hari penamaan calon, Dr Halimah menjelaskan ia adalah bentuk kerjasama antara kedua-dua parti setiap kali pilihan raya dalam membentuk sebuah pakatan pembangkang yang kuat.

Dr Halimah akan bersaing dengan calon PH, Halimey Abu Bakar pada PRK Seri Setia pada 8 September ini.

Pada penamaan calon pagi tadi, calon Pas turut mendapat sokongan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan beberapa pimpinan UMNO.

Barisan Nasional sebelum ini mengumumkan untuk tidak meletakkan calon di DUN Seri Setia bagi memberi laluan kepada calon Pas.