Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga akan mengenal pasti anggota dan pegawainya yang mempunyai masalah berat badan berlebihan untuk mengikuti ‘Program Trim and Fit’ yang dijalankan oleh jabatan itu tidak lama lagi.

Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulkafli Saariat berkata ia selaras dengan arahan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah yang mahukan setiap anggota dan pegawai jabatan itu berada dalam keadaan cerdas untuk memantapkan lagi operasi pasukan.

“Kita akan kenal pasti anggota dan pegawai yang tidak mencapai sasaran kecergasan dan kelangsingan fizikal ideal iaitu dengan mempunyai jisim berat badan (BMI) melebihi 28 untuk mengikuti program ini.

“Antara pengisian program ini ialah senamrobik, larian, dan latihan fizikal yang bersesuaian dengan umur dan kecergasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan PPM Wilayah Tiga di Markas PPM Wilayah Tiga di sini pada Selasa yang turut dihadiri oleh Timbalan Komandernya Supt Mohamad Pajeri Ali.

Beliau dalam masa yang sama turut meminta anggota dan pegawainya supaya sentiasa bersukan bagi kekal cergas sekali gus mempunyai berat badan yang ideal kerana ia merupakan antara perkara yang diambil kira dalam soal kenaikan pangkat.

“Kenaikan pangkat akan mengambil kira tentang BMI ini, jadi saya meminta anggota dan pegawai mengambil inisiatif menyertai Program Trim and Fit kerana selain dapat mencapai BMI yang ideal, ia juga dapat memberikan kesihatan kepada kita yang melakukan aktiviti ini,” katanya.

Pada majlis itu, Zulkafli turut menyampaikan surat penghargaan kepada empat pengamal media Pahang yang banyak membantu dalam menyiarkan laporan dan kejayaan yang dicapai oleh jabatan itu.

Mereka ialah Ketua Biro Bernama Pahang Noor Shamsiah Mohamad, wartawan Sinar Harian Diana Surya Abd Wahab, wakil TV9 Kuantan Mohamad Sofiyyuddin Sarani dan Koresponden Astro Awani Mohd Zailani Md Atan.

-- BERNAMA