Syarikat penerbangan komersial dunia akan memerlukan 558,000 juruterbang dan 609,000 juruteknik penyelenggaraan baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang, demikian menurut unjuran Boeing.

Dalam Prospek Juruterbang dan Juruteknik 2015, Boeing berkata hampir separuh unjuran berkenaan bagi Asia Pasifik, yang memerlukan 226,000 juruterbang dan 238,000 juruteknik.

Naib Presiden Perkhidmatan Penerbangan Boeing, Sherry Carbary berkata cabaran untuk memenuhi permintaan dunia bagi profesion ini tidak akan selesaikan oleh sebuah syarikat sahaja.

"Pengeluar pesawat, syarikat penerbangan, pengeluar peralatan latihan, organisasi latihan, agensi kawal selia dan institusi pendidikan meningkatkan usaha untuk memenuhi keperluan yang semakin bertambah bagi melatih dan memperakui juruterbang dan juruteknik," katanya.

Menurut Boeing, keseluruhan permintaan dunia bagi sumber tenaga mahir ini akan dipacu oleh perkembangan ekonomi berterusan, menyebabkan keperluan purata kira-kira 28,000 juruterbang baharu dan lebih 30,000 juruteknik baharu setiap tahun.