KUALA LUMPUR: Kerajaan Johor menjangkakan ekonomi negeri itu terus mencatat pertumbuhan positif, menyederhana dalam jajaran 4.1 hingga 5.0 peratus pada 2023, seiring dengan aliran di peringkat kebangsaan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Johor pada tahun lepas dianggarkan 6.5 peratus hingga 7.1 peratus yang juga antara angka tertinggi di Malaysia.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Johor akan memberi tumpuan kepada China sebagai pelabur utama yang berpotensi berikutan prospek ekonomi global yang suram.

"Kami juga telah menemui ramai pelabur China dan saya melihat pertumbuhan itu mampu dicapai, bukan sahaja dari China tetapi juga negara-negara Eropah," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat Siri Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) : Potensi Perniagaan Negeri Johor di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Onn Hafiz juga menegaskan keutamaan negeri itu adalah untuk memberi tumpuan serta komited terhadap pertumbuhan Johor.

Beliau telah meletakkan sasaran tinggi untuk meningkatkan KDNK Johor kepada RM260 bilion menjelang 2030 yang memerlukan negeri berkenaan mencatat pertumbuhan berkadar purata 7.0 peratus dari sekarang hingga 2030.

"Ini satu sasaran yang tinggi tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya kita sentiasa berusaha sebaik mungkin," katanya.

Malah, katanya, bagi meraih sasaran pertumbuhan itu, Johor perlu menambahbaik keseluruhan persekitaran perniagaan dan mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menarik serta mengekalkan pelaburan berkualiti selain menarik dan mengekalkan pekerja.

Mengulas jumlah pelaburan diluluskan bagi 2022, beliau berkata Johor berjaya mencapai angka RM70.6 bilion iaitu tertinggi bagi negeri itu serta di Malaysia selain mewujudkan kira-kira 12,000 pekerjaan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.

Dalam kenyataan berasingan, Onn Hafiz berkata Johor berada di tangga teratas dalam kalangan lima negeri dengan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dan diikuti Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM25 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

"Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han serta MIDA, Invest Johor serta semua agensi-agensi peringkat Persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha dalam meningkatkan kecekapan proses perniagaan untuk meningkatkan kecekapan serta kemudahan menjalankan perniagaan.

Ini termasuk peranan Unit Pecutan dan Koordinasi Projek (PACU@MIDA) MIDA dalam menyediakan bantuan pakar profesional kepada kalangan pelabur, termasuk memberi kemudahan lebih daripada 4,000 projek pembuatan setakat ini yang turut memberi impak positif ke atas Johor.

Setakat November 2022, sebanyak 80 peratus atau 759 daripada 953 projek yang diluluskan telah berjaya dilaksanakan.

Abdul Rahman berkata sejajar dengan peranan sebagai agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama negara, MIDA sedang berusaha mempromosikan sektor teknologi digital, termasuk pusat data, keselamatan siber, kecerdasan buatan, kandungan kreatif dan digital serta dan penyedia penyelesaian.

"Usaha kami ini disokong oleh MyDIGITAL yang menyasarkan pelaburan digital bernilai RM70 bilion menjelang 2025 yang menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK serta mewujudkan setengah juta peluang pekerjaan," katanya.

-- BERNAMA