KUALA LUMPUR: Imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia merekodkan lebihan RM253.4 juta pada suku keempat 2023 (S4 2023), disokong oleh komponen perjalanan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Akaun kewangan berubah kepada aliran keluar bersih RM19.9 bilion pada S4 2023 daripada aliran masuk bersih RM14.9 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh aliran keluar dalam pelaburan lain sebanyak RM14.4 bilion dan derivatif kewangan pada RM3.8 bilion.

"Bagi tahun 2023, CAB mencapai lebihan sebanyak RM22.8 bilion berbanding RM55.1 bilion setahun lalu, manakala akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM18.9 bilion berbanding aliran masuk bersih RM12.4 bilion pada 2022," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbandingan bagi suku tahunan itu menunjukkan akaun barangan mencatatkan eksport bersih RM30.8 bilion pada S4 2023 berbanding RM32.7 bilion pada S3 2023.

Begitu juga dengan import barangan menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6 peratus dari suku ke suku mencecah RM245.1 bilion, terutamanya disumbangkan oleh barangan perantaraan, dengan China, Singapura dan AS sebagai sumber utama import," tambahnya.

Pada masa yang sama, Mohd Uzir berkata perkhidmatan mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM7.4 bilion pada S4 2023, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan dalam perjalanan masuk.

"Eksport perkhidmatan meningkat sebanyak 8.7 peratus suku ke suku untuk merekodkan RM55.0 bilion, manakala import perkhidmatan mempamerkan trend yang sama, dengan kenaikan 2.5 peratus, berjumlah RM62.4 bilion.

Lebihan perjalanan bagi suku ini berjumlah RM6.5 bilion, meningkat sebanyak 18.9 peratus berbanding suku sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, akaun pendapatan primer mencatatkan defisit yang semakin meningkat sebanyak RM20.9 bilion berbanding RM11.0 bilion pada suku sebelumnya, yang disumbangkan oleh peningkatan dalam pembayaran bersih daripada pelaburan langsung berjumlah RM16.9 bilion.

Begitu juga dengan akaun pendapatan sekunder yang turut mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM2.3 bilion pada S4 2023.

Berhubung pelaburan terkumpul, Mohd Uzir berkata kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM926.3 bilion pada akhir 2023 manakala pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA) berjumlah RM662.8 bilion.

"Jumlah kedudukan aset kewangan bernilai RM2.40 trilion, manakala jumlah liabiliti ialah RM2.28 trilion.

Kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia mencatatkan aset bersih RM119.4 bilion, manakala rizab antarabangsa berjumlah RM520.7 bilion," katanya.

-- BERNAMA