KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berusaha mengenal pasti langkah untuk mengurangkan import dan menggalakkan eksport serta menarik kemasukan pelabur asing bagi menjayakan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Pada sesi perbahasan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini, Teresa Kok (DAP-Seputeh) berkata dari segi nilai eksport tertinggi di Malaysia, minyak sawit dan produk sawit berada pada tangga keempat manakala getah serta produk berasaskannya di tempat kelima, sekali gus membuktikan kepentingan kedua-dua komoditi tersebut terhadap negara.

"(Namun) cabaran pengeksportan sawit dan getah ke pasaran antarabangsa, khususnya pasaran Barat adalah dakwaan berlakunya penyahutanan serta tuduhan wujudnya pekerja paksaan di Malaysia," katanya yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Sehubungan itu, Kok berkata Malaysia perlu bertindak mengetengahkan usaha pemulihan hutan dan juga sistem penjagaan pekerja asing yang baik bagi membolehkan komoditi negara dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam RMK12, kerajaan telah menetapkan matlamat 50 peratus jumlah keluasan Malaysiadi bawah liputan hutan selain usaha menerusi Central Forest Spine dan Heart of Borneo yang telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan hutan.

Malah, pada pembentangan pelan lima tahun itu pada Isnin lepas, turut dikongsi adalah maklumat mengenai penanaman sejumlah 28.5 juta pokok oleh agensi kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan di bawah RMK11.

Kok juga meminta supaya kerajaan negeri turut memberi kerjasama dalam aspek pemeliharaan hutan.

"Saya menghargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menjaga hutan kita, tetapi tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Sekiranya kita tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, kesemua pengumuman dasar ini adalah sia-sia," katanya.

Menyentuh biodiesel B20, Kok berharap kerajaan serius dari segi penaiktarafan depot yang menampung bahan api berkenaan pada tahun hadapan yang menjadi langkah persediaan.

"Harga minyak sawit tinggi sekarang, tetapi ia mungkin akan jatuh dengan ketara dalam enam bulan kemudian. Biodiesel B20 adalah satu mekanisme yang dapat meningkatkan penggunaan minyak sawit apabila harganya rendah," katanya.

-- BERNAMA