KUALA LUMPUR: Ringgit melanjutkan kenaikan untuk dibuka lebih tinggi pada pagi Selasa apabila dolar AS menurun selepas bank pusat China campur tangan untuk menyokong yuan.

Pada 9.05 pagi, ringgit melonjak kepada 4.7140/7225 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7205/7270 ketika ditutup Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata campur tangan bank pusat China telah menghantar mesej yang jelas bahawa People's Bank of China mahu melihat yuan yang lebih kukuh.

“Oleh itu, ringgit sepatutnya kekal stabil memandangkan ia mempunyai korelasi positif yang kukuh dengan yuan,” katanya kepada Bernama.

Bank pusat China telah menetapkan penetapan harian yang lebih tinggi pada yuan pada 7.0996 setiap dolar berbanding 7.222 seperti yang diunjurkan oleh penganalisis.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan merosot berbanding euro kepada 5.1104/1197 daripada  5.1066/1137 ketika ditutup pada Isnin, jatuh berbanding pound Britain pada 5.9590/9697 daripada 5.9549/9631 bagaimanapun ringgit meningkat berbanding yen Jepun pada 3.1159/1217 daripada 3.1185/1230 semalam.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.5041/5106 daripada 3.5060/5111 tetapi merosot berbanding baht Thailand pada 12.9751/13.0025 berbanding 12.9627/9866 pada penutupan Isnin.

Ringgit diniagakan rendah berbanding rupiah Indonesia pada 298.7/299.0 daripada 298.7/299.3 dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.37/8.40 berbanding 8.37/8.39 sebelumnya.

 -- BERNAMA