KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia menyusut 4.64 peratus kepada 2.29 juta tan pada Disember daripada 2.40 juta tan pada November, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB menerusi laporan prestasi industri terkininya bagi Disember 2023 berkata inventori minyak sawit mentah (MSM) berkurangan 9.43 peratus kepada 1.20 juta tan bulan lepas daripada 1.32 juta tan pada November.

Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses meningkat sebanyak 1.23 peratus kepada 1.09 juta tan pada Disember daripada 1.08 juta tan sebelum ini.

Pengeluaran MSM susut 13.31 peratus kepada 1.55 juta tan pada Disember daripada 1.79 juta tan pada bulan sebelumnya, dan pengeluaran isirung sawit turun 14.00 peratus kepada 371,202 tan daripada 431,641 tan sebelumnya.

MPOB berkata eksport minyak sawit merosot 5.12 peratus atau 72,021 tan kepada 1.33 juta tan pada Disember daripada 1.41 juta tan pada November dan eksport oleokimia susut 5.38 peratus kepada 245,048 tan.

Eksport biodiesel berkurangan 0.76 peratus kepada 17,834 tan pada Disember daripada 17,971 tan pada bulan sebelumnya.

Manakala eksport dedak isirung sawit turun 33.77 peratus kepada 178,436 tan bulan lepas, manakala eksport minyak isirung sawit jatuh 11.53 peratus kepada 88,261 tan daripada 99,768 tan pada November.

Import MSM berjumlah 11,103 tan pada Disember, manakala jumlah import minyak sawit turun 7.87 peratus kepada 36,573 tan berbanding 39,696 tan pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA