Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan cukai barang dan perkhidmatan GST yang akan bermula pada April 2015 melebihi enam peratus sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan peratusan GST yang lebih tinggi hanya akan meningkatkan indeks harga pengguna.

Husni berkata sebarang kajian semula mengenai peratusan GST hanya akan dilaksanakan dalam jangka masa panjang.

Ujarnya kerajaan akan mengambil kira kebajikan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan mengenai GST.

Ketika ini jelas beliau kerajaan sedang melakukan kajian bagi mengenal pasti sama ada 250 barangan yang dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan, SST sebanyak 10 peratus akan turut terlibat dengan pelaksanaan GST kelak.

Husni berkata demikian kepada media selepas merasmikan Forum Persediaan Untuk Menghadapi GST: Implikasi Kepada Kerajaan, Sektor Swasta dan Orang Awam di Kuala Lumpur pada Khamis.