PIDIE: Sekurang-kurangnya 185 orang pelarian etnik Muslim Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak mendarat di utara Aceh, Indonesia, pada Isnin.

Mereka merupakan kumpulan kedua yang tiba di kawasan itu dan berada dalam keadaan lemah dan keletihan selepas berminggu-minggu berada di lautan.

Polis tempatan mengesahkan kesemua mereka menaiki bot kayu dan tiba pada waktu petang di Pantai Ujong Pie di Muara Tiga, sebuah perkampungan di daerah Pidie, Aceh.

Mereka dibawa ke balai raya dan akan tinggal di sana sementara menerima bantuan daripada penduduk, petugas kesihatan dan lain-lain.

Pegawai imigresen dan polis sedang berusaha mengenal pasti pelarian berkenaan untuk menentukan sama ada mereka daripada kumpulan 190 Rohingya yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanyut dalam bot kecil di Laut Andaman selama sebulan.

UNHCR pada Jumaat menggesa negara-negara untuk menyelamatkan pelarian, mengatakan laporan menunjukkan mereka berada dalam keadaan buruk dengan makanan atau air yang tidak mencukupi.

Seorang doktor berkata, 39 daripada mereka diberi cecair melalui alat infusi perubatan dengan kebanyakan mereka mengalami dehidrasi.

Sejak 2017, pasukan keselamatan Myanmar telah dituduh melakukan rogol, pembunuhan dan pembakaran beribu-ribu rumah milik Rohingya, menyebabkan mereka melarikan diri ke Bangladesh dan negara sekitar

Malaysia telah menjadi destinasi pilihan  bagi kebanyakan pelarian yang tiba dengan bot.

Bulan lalu, 219 pelarian Rohingya diselamatkan di luar pantai daerah Aceh Utara menaiki dua bot kayu.