NEW YORK: Peminat Apple berpusu-pusu mengunjungi kedai utama syarikat itu di New York pada Jumaat bagi mendapatkan produk baharu Apple iaitu set kepala Vision Pro.

Apple Vision Pro merupakan set kepala khusus yang dibangunkan oleh Apple, mengintegrasikan dunia nyata dan juga dunia maya.

Jualan bermula pada harga AS$3,499 atau RM16,500 dan dijual dengan storan 256 GB.

Dengan tambahan AS$200, pelanggan juga boleh mendapat bekas khas gajet yang mesra kembara dan tambahan AS$50 untuk bekas bateri.

Apple Vision Pro membenarkan sisipan kanta preskripsi dan sisipan kanta membaca dengan tambahan bayaran.

Produk ini juga menawarkan kira-kira 2.5 jam hayat bateri pada satu cas pek baterinya.

Penganalisis berkata, Apple Vision Pro merupakan langkah penting untuk masa depan Apple kerana syarikat itu memasuki era berkenaan.

Apple Vision Pro memasuki pasaran ketika saham Apple merosot kira-kira 3 peratus pada Jumaat, susulan jualan di China yang mengecewakan.

Persaingan yang semakin sengit daripada pesaing domestik, ditambah dengan pengguna berbelanja lebih berhati-hati di tengah-tengah kelembapan ekonomi, telah membantutkan pertumbuhan Apple di China.

Jualan di China juga merosot sebanyak 13 peratus pada suku yang berakhir pada Disember.

Sebagai pasaran telefon pintar terbesar di dunia, China adalah penting untuk penjualan Apple. - Agensi