ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 17 Januari 2022.

1. Ibu negara baharu Indonesia dinamakan Nusantara

Ibu negara baharu Indonesia yang kini dalam fasa pembangunan rancak di Kalimantan Timur akan dinamakan sebagai Nusantara. Pemilihan nama itu diumumkan oleh Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa , yang menurutnya telah disahkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi).

2. Warganet muat naik 'meme' lucu iringi kepulangan Novak Djokovic

Kekalahan Djokovic dalam "pertarungan undang-undang" yang sensasi itu turut mencuri perhatian warganet, khususnya melibatkan status vaksinasi bintang sukan itu.

3. Keputusan kecualikan junta Myanmar dalam mesyuarat ASEAN perlu dikekalkan

ASEAN harus mengekalkan keputusan yang dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 untuk hanya menjemput wakil bukan politik dari Myanmar ke mesyuarat-mesyuaratnya sehingga terdapat kemajuan ketara dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

4. Kanak-kanak warga asing di Seoul terima bantuan yuran pendidikan bermula Mac

Kanak-kanak warga asing berumur tiga hingga lima tahun di Seoul akan menerima bantuan yuran pendidikan yang setara dengan kanak-kanak Korea Selatan mulai Mac, kata pejabat pendidikan bandar itu pada Isnin.

5. Tsunami Tonga: Lagi letusan besar dikesan hari ini

Satu lagi letusan besar telah dikesan di gunung berapi Tonga, lapor sebuah stesen pemantauan yang berpangkalan di Darwin, Australia pada Isnin.

6. Ribut Salji | Landa timur AS, penduduk terpaksa 'bergelap'

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan, ribut itu membawa salji lebat, hujan batu serta angin kencang yang menjejaskan tenggara dan pantai Mid-Atlantik sebelum bergerak ke New England dan Selatan Kanada.

7. Gunung berapi | Dua lemas di Peru akibat ombak besar

Dua wanita lemas di utara Peru akibat ombak luar biasa susulan letusan gunung berapi di Tonga yang terletak lebih 10,000 kilometer dari negara itu. Pihak berkuasa tempatan memaklumkan, kedua-dua mangsa lemas pada Sabtu di Lambayeque.

8. Selepas anak meninggal dunia, Sinead O'Connor dimasukkan ke hospital

Penyanyi dan penulis lirik, Sinead O’Connor dimasukkan ke hospital seminggu selepas anak lelakinya meninggal dunia akibat membunuh diri.

9. Gempa bumi sederhana landa Pulau Jawa, Indonesia

Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda Pulau Jawa, Indonesia pada 8.26 pagi tadi. Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 78 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 160 km barat daya dari Sukabumi, Indonesia.

10. COVID-19: Tiada jangkitan baharu, bandar Xi'an tarik balik sekatan

Bandar Xi'an di China mula menarik semula sekatan COVID-19 yang memasuki minggu ketiga bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Menurut media tempatan, serentak itu, beberapa aktiviti pembuatan dimulakan semula di bandar berkenaan.