ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 16  Mei 2022.

1. Etnik Uyghur | Xinjiang catat kadar pemenjaraan tertinggi dunia

Wilayah Xinjiang merekodkan kadar pemenjaraan tertinggi di dunia, dengan hampir seorang daripada 25 orang di sebuah daerah di Xinjiang, China telah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan keganasan. Agensi berita Associated Press (AP) mengesahkan data baharu yang merekodkan senarai nama lebih 10,000 etnik Uyghur yang dipenjarakan hanya di satu daerah, dari puluhan lagi daerah di selatan Xinjiang.

2. Kapal udara China pecah rekod dunia

Kapal udara terapung (floating airship) Jimu No.1 (model III) yang dibangunkan China sepenuhnya berjaya berlepas dari pangkalan ekspedisi saintifik kapal udara terapung pada ketinggian 4,300 meter tepat pukul 1.26 awal pagi Ahad.

3. 13 maut, 12 parah dalam kemalangan bas langgar tiang plaza tol

Sebanyak 13 penumpang maut manakala 12 lagi cedera parah dalam kemalangan sebuah bas pelancong melanggar tiang Plaza Tol Surabaya - Mojokerto pada Isnin.

4. Parlimen Somalia pilih Hassan Sheikh Mohamud sebagai presiden baharu

Ahli Parlimen Somalia dari kedua-dua dewan perwakilan pada Ahad memilih Hassan Sheikh Mohamud sebagai presiden, menewaskan penyandang Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed, turut dikenali sebagai Farmajo.

5. COVID-19: Singapura lapor tiga kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5

Singapura pada Isnin merekodkan kes COVID-19 jangkitan tempatan melibatkan dua kes varian BA.4, dan satu kes varian BA.5, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

6. Aktres Tamil ditemui mati pada hari lahir

Seorang aktres dan model terkenal Malayalam atau Tamil, Sahana, mengejutkan industri hiburan India apabila ditemui mati beberapa hari lalu.

7. Menteri Luar Singapura adakan lawatan ke Malaysia dari 17-19 Mei

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Malaysia bermula esok.

8. COVID-19: Lapan kematian baharu di Korea Utara, jumlah kini 50

Korea Utara melaporkan lapan kematian baharu akibat COVID-19 dan 392,920 kes baharu dengan simptom susulan penularan virus di negara itu.

9. COVID-19: Vietnam gugur syarat ujian untuk ketibaan pengembara asing

Vietnam menggugurkan syarat ujian COVID-19 bagi pengunjung yang memasuki negara itu bermula semalam (15 Mei) atas alasan wabak itu sudah dapat dikawal.

10. Seorang maut, empat cedera parah tembakan rambang di gereja

Sekurang-kurangnya seorang terkorban manakala empat lagi parah dalam insiden tembakan rambang di sebuah gereja di Selatan California, Amerika Syarikat pada Ahad.