INTERNATIONAL
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 25 April 2025.
California mengatasi Jepun untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia, menurut Gabenor Gavin Newsom yang memetik data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Biro Analisis Ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Jeneral kanan tentera Rusia, Leftenan Yaroslav Moskalik terbunuh dalam satu letupan kereta di bandar Balashikha, kira-kira 20 kilometer di timur Moscow.
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dimasukkan ke hospital pada Khamis akibat demam panas selepas pulang dari lawatan rasmi dua hari ke Kemboja.
Kamar Rayuan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis menolak permohonan untuk membatalkan atau menggantung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengesahkan bahawa pusingan seterusnya rundingan nuklear tidak langsung dengan Iran akan diadakan pada Sabtu ini di Oman, dengan Michael Anton, pengarah perancangan dasar Jabatan Negara, mengetuai delegasi teknikal AS.
Ekonomi Britain berpotensi meraih keuntungan sehingga 400 bilion pound (kira-kira RM2.5 trilion) hasil pertumbuhan berasaskan kecerdasan buatan (AI) sekiranya tenaga kerja negara itu dilatih untuk memanfaatkan teknologi tersebut, menurut laporan Google.
Kesemua empat ekor panda gergasi yang dipinjamkan ke sebuah zoo di barat Jepun akan dihantar pulang ke China akhir Jun ini, lebih awal daripada tarikh tamat perjanjian pajakan, menurut pengendali zoo itu pada Khamis.
Rancangan India untuk menamatkan akses Pakistan kepada sistem Sungai Indus mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar harian India Tribune pada Jumaat, dengan merujuk kepada sumber yang tidak dinamakan.
Kerajaan Jepun pada Jumaat mengumumkan pakej langkah kecemasan ekonomi bagi menangani kesan negatif tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menjelang pusingan kedua rundingan perdagangan dua hala yang dijadualkan minggu depan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa India dan Pakistan agar mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan susulan serangan maut di Jammu dan Kashmir yang mengorbankan 26 orang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami