JOHANNESBURG: Afrika Selatan memberi amaran kepada rakyatnya yang menyertai tentera Israel di tengah-tengah konflik Gaza yang berterusan, boleh berdepan pendakwaan.

Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan menegaskan, kerajaan amat memandang serius berhubung laporan beberapa warga Afrika Selatan dan penduduk tetap didakwa telah menyertai dan mempertimbangkan menyertai Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

"Tindakan sedemikian berpotensi menyumbang kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa dan pelakuan jenayah antarabangsa, sekali gus membolehkan mereka berdepan pendakwaan di Afrika Selatan,” menurut kementerian itu, memetik media antarabangsa.

Selain berdepan pendakwaan, tindakan menyertai tentera Israel tanpa izin khas negara juga boleh menyebabkan tahap kewarganegaraan ditarik balik. 

Kementerian Luar menambah, mana-mana rakyat Afrika Selatan yang ingin berkhidmat dalam tentera asing harus terlebih dahulu memohon kepada Jawatankuasa Kawalan Senjata Konvensional Kebangsaan (NCACC).

Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab membuat syor kepada Menteri Pertahanan dan Veteran Tentera sama ada permohonan sedemikian diberikan atau ditolak.

"Mana-mana orang yang menyertai tentera Israel tanpa kebenaran NCACC, adalah "melanggar undang-undang dan boleh didakwa," jelasnya.

Perang antara Hamas dan Israel di Semenanjung Gaza telah berlarutan lebih 70 hari sejak 7 Oktober lalu, mengorbankan lebih 19,000 rakyat Palestin setakat ini.