AHMEDABAD: Pihak berkuasa sebuah bandar di India mengadakan kem vaksinasi khas bagi golongan orang kelainan upaya.

Ini sebagai usaha meningkatkan kadar vaksinasi yang masih rendah terutama dalam kalangan anggota masyarakat yang lebih berisiko.

Kempen vaksinasi itu diadakan di Ahmedabad, Gujarat bagi memberi vaksin kepada 500 orang kelainan upaya yang sukar membuat janji temu vaksin dan mendapatkan akses ke pusat vaksinasi.

Rata-rata penerima vaksin di kem itu berpendapat ia lebih memudahkan proses vaksinasi mereka.

Walaupun menjadi pengeluar utama vaksin koronavirus, India menghadapi cabaran menyuntik 1.3 bilion rakyatnya susulan masalah logistik di daerah terpencil.

Orang kurang upaya sering menghadapi masalah tambahan kerana sukar untuk ke tempat vaksinasi kerana kekurangan pengangkutan atau tiada akses mudah untuk perjalanan di pusat vaksinasi.

India negara paling teruk terjejas pada bulan April dan Mei akibat lonjakan kes harian yang mencecah lebih 400,000.

Pihak berkuasa India pada Ahad melaporkan 80,834 kes jangkitan baharu terendah dalam dua bulan.