Dua lelaki telah ditahan pihak berkuasa tempatan kerana merakam perbuatan mereka memaksa seorang kanak-kanak berusia empat tahun mengambil minuman beralkohol.

Menurut laporan The Jakarta Post, kedua-dua lelaki berkenaan, Firman Efendi, 20, dan M. Rifky Hendra Putrawan, 19 ditahan di kediaman mereka di Kampung Timampu, Daerah Towuti, Sulawesi Selatan
selepas video berkenaan tular di aplikasi WhatsApp.

Dalam rakaman dipercayai dihasilkan pada Sabtu lepas, seorang lelaki dirakam oleh rakannya memaksa kanak-kanak malang itu minum minuman beralkohol di sebuah ladang lada hitam di Pekaloa, daerah yang sama.

Satu lagi video menunjukkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan mabuk dan berjalan terhoyong-hayang sambil menjerit.

Kanak-kanak itu juga dilihat terjatuh beberapa kali dan terhantuk kepalanya di atas timbunan kayu balak yang terletak dalam sebuah Gudang di ladang itu.

Menurut Ketua Pusat Penjagaan Bersepadu Luwu Utara untuk Pemberdayaan Wanita dan Kanak-kanak, Juleha, ibu-bapa kanak-kanak berkenaan meletakkan kepercayaan kepada Firman dan Rifky untuk menjaga anak mereka buat sementara.

“Kanak-kanak itu dikatakan dalam keadaan kehausan, jadi kedua-dua lelaki itu memberinya minuman beralkohol,” katanya seperti dipetik Tribunnews.com.