KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden pada pagi Khamis bagi menegaskan kembali kecaman keras Kerajaan Malaysia terhadap tindakan keji Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm pada 21 Januari lalu.

Menerusi satu kenyataan media, Wisma Putra telah menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan pihak berkuasa Sweden mengambil tindakan terhadap Paludan yang sudah dua kali berbuat demikian, meskipun mendapat tentangan masyarakat antarabangsa.

"Wisma Putra pada masa sama menggesa pihak berkuasa Sweden agar mengambil langkah serius menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di Sweden.

"Ia menjejaskan semangat hidup bersama berbilang agama secara aman sekiranya Islamafobia dan Xenofobia terus berleluasa.

"Wisma Putra mengambil maklum mengenai sesi taklimat yang dihoskan TYT Jan Knutsson, Timbalan Menteri Luar Sweden pada 23 Januari 2023 di Kementerian Luar Negeri Sweden yang dihadiri wakil Kedutaan Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Stockholm termasuk Malaysia.

"Bagaimanapun, Wisma Putra mengesa agar kerajaan Sweden mengambil inisiatif kukuh menyelaras pendirian mereka dalam menghormati masyarakat Islam secara menyeluruh," katanya.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden di Kuala Lumpur mengambil maklum bantahan Kerajaan Malaysia itu dan akan menyampaikannya kepada Stockholm.