Selain daripada itu, Moscow juga dengan angkuh dan terbuka mencabar dunia dengan cuba mengetepikan hak kedaulatan sesebuah negara yang merdeka untuk menentukan masa depannya tanpa perlu akur atau tunduk pada mana-mana tekanan negara lain.
Persoalan yang perlu dijawab ketika ini, ke manakah hala tuju dan bagaimana peperangan ini akan berakhir?
Pertama sekali, fakta yang terang lagi bersuluh adalah Rusia telah gagal untuk mencapai objektif asal yang digariskan sewaktu mereka mula-mula menyerang Ukraine.
Angan-angan pemimpin Rusia di Kremlin untuk mencapai kemenangan secara pantas melalui kaedah serangan blitzkrieg bukan sahaja gagal dengan teruk tetapi matlamat awal itu kini cuba untuk diselindung daripada dunia bagi mengelakkan mereka dicop sebagai sebuah negara yang mempunyai tentera yang lemah.
Sehingga kini, semua bandar utama di Ukraine masih di dalam kawalan Kerajaan Ukraine yang kekal merdeka. Ketika artikel ini ditulis, sejumlah 17,200 orang Tentera Rusia telah terkorban, termasuk tujuh jeneral tertinggi Rusia telah terbunuh, 586 buah kereta kebal dimusnahkan, 127 buah kapal terbang dan 129 buah helikopter telah ditembak jatuh, beratus buah kenderaan pengangkut lain turut dimusnahkan, termasuk pelbagai kelengkapan dan peralatan ketenteraan yang lain.
Kekalahan yang dialami Tentera Rusia adalah termasuk daripada kalangan pasukan elit seperti Divisyen Tentera Serangan Udara Pskov, Divisyen Mekanis Infantri Taman dan Briged Tentera Serangan Udara Ulyanovsk juga telah dimusnahkan sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Ukraine.
Tentera Rusia terpaksa membayar harga kekalahan mereka dengan nyawa manusia yang tinggi sepanjang kempen perang di Ukraine ini dan bukti jelas dilihat apabila Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu telah menandatangani dekri supaya pemuda Rusia yang berusia dari 17 hingga 18 tahun perlu menyertai pasukan tentera untuk membantu kempen perang di Ukraine.
Kemusnahan dan kerugian yang dialami oleh Rusia ini merupakan kekalahan julung-julung kali dialami oleh negara tersebut pada skala besar berbanding mana-mana konflik perang moden yang melibatkan negara tersebut.
Bukan sahaja serangan Tentera Rusia berjaya dipatahkan oleh Angkatan Tentera Ukraine secara efektif, malah semangat patriotik dan moral rakyat Ukraine juga menjadi semakin utuh dan kuat.
Di beberapa daerah utama di Ukraine, Tentera Rusia sendiri terkejut melihat rakyat Ukraine secara terang-terangan bersatu hati menolak kehadiran mereka melalui aktiviti tunjuk perasaan dan sekatan jalan raya yang dibuat oleh rakyat awam ke atas kemaraan konvoi Tentera Rusia.
Situasi ini adalah satu kejutan dikalangan Tentera Rusia yang selama ini mempercayai propaganda politik yang disebarkan oleh pemimpin mereka bahawa Tentera Rusia akan disambut baik oleh rakyat Ukraine (kononnya sebagai “tentera pembebas”) dan kempen perang di Ukraine akan berakhir dengan pantas. Sangkaan ini nyata meleset sama sekali.
Apabila Tentera Rusia kehilangan momentum serangan akibat ditentang dengan tegas dan efektif oleh Angkatan Tentera Ukraine, motivasi tentera penceroboh mula merudum.
Mereka mula menukar taktik dengan mengguna pakai kaedah serangan sebagaimana perang di Chechnya dan Syria iaitu menyerang penduduk awam secara melulu.
Tindakan pengeboman secara melulu ini tidak mengira sama ada bandar Ukraine tersebut mempunyai nilai sejarah tamadun manusia ribuan tahun bagi memenuhi objektif perang mereka.
TERPAKSA BAYAR HARGA KEMERDEKAAN
Dunia juga menyaksikan dengan penuh kesal apabila Ukraine terpaksa membayar harga kemerdekaan mereka dengan harga yang begitu tinggi setelah sejumlah 5,000 orang awam terkorban termasuk 144 orang kanak-kanak sejak perang ini berlaku.
Sejumlah 6.5 juta orang awam juga telah menjadi pelarian di negara mereka sendiri termasuk 3.5 juta rakyat Ukraine terpaksa lari ke negara lain di Eropah.
Menyahut seruan laporan 42 buah negara, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka siasatan ke atas jenayah perang yang dilakukan oleh Tentera Rusia. Disebabkan betapa besarnya skala jenayah perang yang dilakukan ini serta kes yang kompleks, permohonan supaya Tribunal Khas Antarabangsa untuk ditubuhkan telah difailkan bagi mendengar kes jenayah perang Rusia ke atas Ukraine dengan teliti.
Di arena antarabangsa pula, Moscow telah dihalang sepenuhnya untuk terus menggunakan sistem perbankan dan pasaran kewangan dunia. Rusia juga telah disisihkan sedikit demi sedikit daripada berdagang, melancong dan bersaing dalam aktiviti sukan seluruh dunia.
Serangan Rusia ke atas Ukraine telah menjadikan Rusia sebagai sebuah negara tersisih. Putin sendiri menjadi tidak keruan dan semakin tidak rasional. Daripada kalangan penyokong kuatnya di Kremlin, kini wujud pandangan yang tidak bersetuju malah terkejut dengan tindakannya menyerang Ukraine.
Rusia juga telah memecahkan rekod sebagai pelopor utama daripada kalangan negara dunia yang menerima sekatan antarabangsa tertinggi setakat ini. Walaupun ada pendapat yang bersikap ragu-ragu terhadap kesan kejayaan sekatan ekonomi untuk memaksa Rusia menghentikan serangan ke atas Ukraine tetapi hakikatnya, ekonomi Rusia semakin merudum dengan cepat.
Dapat diperhatikan juga, kumpulan oligarki dan kuncu-kuncu penyokong Putin di Rusia yang selama ini menikmati kekayaan dan kemewahan daripada layanan istimewa rejim Putin kini mula melihat Putin sebagai satu liabiliti.
Pada hakikatnya, dalam kehidupan seharian, golongan oligarki ini lebih memilih untuk menghantar anak-anak mereka belajar dan keluarga mereka tinggal di luar negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan ekonomi Barat.
Adakah kumpulan ini bersedia untuk meninggalkan kekayaan dan kemewahan yang dikecapi selama ini hanya untuk Putin dalam menyokong aspirasi pentadbiran rejimnya terus-terusan melakukan jenayah perang ke atas Ukraine?
Akhir sekali, tragedi serangan Rusia ke atas Ukraine telah menunjukkan kualiti kepimpinan yang berbeza antara kedua-dua negara. Putin seorang pemimpin yang kerap dilihat gagah di kaca televisyen dan lasak melalui terbitan gambarnya di media massa kini memilih untuk berlindung di dalam kubu bawah tanah.
Beliau hanya berani berdepan dengan masyarakat dengan melakukan penjarakan sosial yang ketat beberapa meter walaupun acara-acara rasmi melibatkan dirinya telah dirancang secara rapi terlebih dahulu. Manakala Presiden Volodymyr Zelensky dari Ukraine pula telah menunjukkan keberanian luar biasa dengan memilih untuk tidak meninggalkan Kyiv walaupun dalam keadaan situasi perang yang memuncak.
Presiden Zelensky juga dilihat kerap berucap kepada sidang Parlimen Ukraine dari lokasi-lokasi luar seperti sekitar jalan utama di ibu negara Ukraine, Kyiv. Beliau juga tidak berehat dan aktif berucap melaporkan perkembangan situasi perang di Ukraine kepada sidang dewan parlimen negara-negara demokrasi seluruh dunia secara atas talian.
Tidak perlu pertikai akan keupayaan kami untuk membina semula negara kami selepas perang tamat. Kami juga akan memastikan Rusia membayar hutang darah dan kerugian wang ringgit akan setiap nyawa penduduk Ukraine yang terkorban, setiap rumah rakyat Ukraine yang musnah dan setiap titik air mata kanak-kanak yang menangis kerana menjadi yatim piatu akibat serangan Rusia ini.
Kami menyeru setiap masyarakat antarabangsa pada hari ini untuk berhenti bekerjasama dengan pihak Rusia pada semua peringkat samada antara pegawai Kerajaan, secara hubungan diplomatik mahupun dengan pemerintah tentera mereka yang bertanggung jawab secara langsung melakukan jenayah perang ke atas Ukraine.
Kepada negara-negara ASEAN yang mempunyai sejarah panjang dengan Rusia dalam aspek pertahanan dan kerjasama ketenteraan, sekarang bukan lagi business as usual. Hampir semua syarikat konglomerat antarabangsa sudah berhenti bekerjasama dengan Rusia.
Situasi sama juga perlu dilakukan oleh pengamal media. Pihak media janganlah mudah terpedaya dengan naratif dan informasi yang sengaja direka oleh Rusia untuk mengelirukan orang awam melalui fakta-fakta yang sengaja dipesongkan dan diputar-belit bertujuan menyemai kebencian.
Rusia adalah negara penjenayah dan perlu dilayan seumpamanya.
Selama empat minggu jam di menara Spasskaya di Kremlin berdetik.
Setiap jam berlalu juga loceng berbunyi semakin kuat. Apa yang bermula dengan naratif palsu untuk mengusir anasir Nazi (denazification) dari Ukraine mungkin berakhir dengan tindakan rakyat Rusia mengusir Putin keluar dari Kremlin (deputinization).
* Olexander Nechytaylo ialah Duta Ukraine ke Malaysia.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.