Seorang lelaki Taiwan berdepan hukuman denda selepas memberitahu doktor bahawa dia telah melancong ke Afrika dan mempunyai simptom Ebola.

Pengakuannya itu telah mencetus tindakan segera kuarantin kecemasan di hospital berkenaan, lapor jurucakap rasmi pada Ahad.

Lelaki berusia 19 tahun itu yang identitinya tidak didedahkan, bakal berdepan dengan hukuman denda berjumlah TW$150,000 (AS$4,800).

Ketika didaftar masuk sebagai pesakit di Kaohsiung Veterans General Hospital Jumaat lalu, lelaki itu memberitahu doktor bahawa dia demam dan mengalami cirit-birit selain telah mekan kelawar sewaktu melancong ke Nigeria.

Walaupun dia tidak mencatatkan suhu badan seperti orang yang demam, pihak hospital telah mengkuarantin lelaki itu dengan segera dan ia membuatkan semua kes kecemasan lain terpaksa dipinggirkan.

Insiden itu cepat dihidu pihak media seterusnya mendapat liputan meluas seterusnya mencetus panik.
Pusat Kawalan Penyakit Taiwan turut mengeluarkan kenyataan yang meminta orang awam agar tidak melancong ke Afrika Barat jika pemergian itu bukan urusan penting, selain menasihatkan agar tidak memakan haiwan liar.

Ujian pengesahan Ebola ke atas lelaki itu menunjukkan hasil negatif dan pihak berkuasa juga mendapati bahawa dia tidak pernah melancong ke luar negara. Para doktor di hospital berkenaan tidak menolak kemungkinan bahawa lelaki itu mungkin mengalami masalah mental.

Benua Asia setakat ini bebas virus Ebola yang sejak beberapa bulan lalu menimbulkan kegawatan di bahagian barat Afrika. Dalam tempoh kurang daripada setahun, 6,100 kematian sudah dicatatkan.