Bekas presiden Afrika Selatan meninggal dunia


BELASUNGKAWA

Kematian Nelson Mandela bukanlah sesuatu yang tidak diduga. Dia jatuh sakit sudah lama dan pada usianya yang cukup tua dan begitu uzur pula, keluarga yang menyayangi, rakyat yang menghormati dan dunia yang mengkagumi ketokohannya memang sudah bersedia untuk melepaskan dia pergi. Bila-bila masa.

Tetapi apabila saat itu akhirnya tiba, Afrika Selatan sangat merasai kehilangannya. "Negara kita kehilangan puteranya yang terbaik. Rakyat kehilangan seorang bapa," kata Presiden Jacob Zuma yang tampak sebak menahan air mata semasa mengumumkan berita duka itu kepada negara.

Kehilangan itu juga dirasai di serata benua yang ikut berdukacita. Bendera turut dikibar separuh tiang di banyak negara tanda menghormati pemergian seorang pemimpin yang diterima sebagai milik dunia. Seorang demi seorang pemimpin dunia mengucapkan belasungkawa.

Dia "sebutir cahaya paling terang yang kini terpadam". Dia "pahlawan sepanjang zaman". Dia "berpengaruh dan berani". Dia telah "berkorban tanpa ada tolok bandingnya". Dia "inspirasi orang tertindas" yang akan terus hidup dan "memberi petunjuk kepada pejuang kebebasan serta memberi keyakinan kepada pejuang keadilan".

Dia yang berpegang kepada cita-cita kebebasan, keadilan dan kesamarataan.

"Kita tidak akan melihat ada lagi orang sepertinya," kata seorang di kalangan mereka. "Kami akan merinduimu tetapi kami tahu kau akan selalu ada membimbing kami menuju masa depan yang lebih baik dan adil dengan semangat dan teladan yang kau tinggalkan," kata seorang yang lain pula. Dia "tokoh politik terhebat zaman moden ini," kata seorang lagi.

Lalu apakah yang boleh kita kutip daripada perjalanan hayat seorang tokoh seperti Mandela?

Dia yang dikurung di sebuah penjara terasing di tengah laut yang apabila selepas 27 tahun, melangkah bebas tanpa menyimpan sekelumit dendam. Dia yang memaafkan mereka yang pernah berbuat dosa kepadanya, yang merampas 27 tahun hidupnya. Dia yang sangat memahami harga yang harus dia bayar untuk kebebasan, keadilan dan kesamarataan.

Selama dipenjara, dia memendam rasa dan membungkam derita kehilangan dua orang tercinta — anak lelaki sulung dan ibunya yang meninggal dunia. Pada hari kematian mereka, dia tidak ada dan tidak mengiringi perjalanan akhir mereka ke pusara. Ketika itulah dia bertanya kepada dirinya sendiri apakah erti jadi pejuang kalau terpaksa derita.

Dia melangkah keluar penjara sebagai orang yang sangat jauh berbeza 27 tahun sebelumnya — lebih dewasa, bijaksana dan besar jiwanya.

Dia dengan mulia hati menziarahi balu kepada pemimpin kulit putih yang mencampakkannya ke dalam penjara. Dia menjadikan kemaafan sebagai senjata; melepaskan dendam ke atas musuh-musuhnya dengan menghulurkan maaf kepada mereka. Dia sedar tanpa kemaafan itu, selama-lamanya dia akan terpasung dalam penjara masa lalunya sendiri.

Untuk itu, dia menyatukan rakyatnya yang berbenci-benci kerana warna kulit yang berbeza. Dia tidak pernah membeza-bezakan manusia. Dia selalu cepat melangkah ke hadapan menunjukkan contoh teladan bagaimanakah seharusnya mereka yang berbeza warna kulit itu harus mencuba untuk hidup bersama.

Dia dipaksa menjinakkan kemarahan dan meredakan ketakutan. Dialah yang tegak berdiri dan dengan lembut tetapi tegas mengingatkan jangan ada yang berbunuh-bunuhan kerana dendam dan tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti atas nama pembalasan.

Dia tidak berpaut pada kuasa; turun dari puncak takhta hanya selepas sepenggal cuma jadi ketua negara sebelum kuasa itu merosakkan dirinya atau lebih malang lagi, meruntuhkan negara.

Tetapi dia juga lelaki yang kecewa dengan cinta dan hanya menemukan cinta dalam perkahwinan yang ketiga pada penghujung hayatnya setelah menempuh dua perkahwinan yang berakhir dengan perpisahan — kedua-duanya kerana politik.

Dia disanjung kerana melakar sejarah baru — sejarah bangsa dan negaranya, serta sejarah dunia sejagat dan kemanusiaan. Dia mewariskan perubahan daripada cita-cita perjuangan yang menghumbannya terperuk ke dalam penjara. Potret Mandela adalah sebuah lukisan kisah masa silam. Ia sebuah sejarah yang kini hanya jadi kenang-kenangan.

Kenang-kenangan itu tidak akan menghapuskan realiti yang membelenggu Afrika Selatan — kemunduran, kedaifan dan seribu satu macam krisis yang menekan rakyat.

Memang dialah antara manusia hebat yang pernah lahir di kalangan kita. Tetapi dia juga manusia biasa — dengan segala kelemahan, kekurangan dan selebihnya, kegagalan.

Dia menyedari keterbatasan itu apabila dia mengatakan: "Aku bukanlah seorang wali, melainkan kalau kamu fikir wali itu adalah seorang pendosa yang selalu terus mencuba."

Kebimbangan itu selalu bermain dalam kepalanya semasa dia merengkuk 27 tahun dalam penjara — betapa citra mengenai dirinya mungkin tanpa sengaja memberikan gambaran yang salah kepada dunia dan membentuk mitos bahawa kononnya dia seorang yang mulia.