GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah dengan bahan api, bekalan makanan, air dan elektrik semakin terputus.

Menurut pegawai kanan PBB, jumlah kematian kini melebihi 7,300 mangsa.

Pada masa sama, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) turut mendedahkan lebih 50,000 wanita mengandung terperangkap dalam konflik tersebut dan kira-kira 5,500 wanita akan melahirkan bayi dalam tempoh 30 hari akan datang.

Sekiranya bekalan bekalan bahan api kehabisan, Unit Rawatan Rapi Neonatal akan terjejas dan pembedahan Caesarean yang dirancang atau kecemasan adalah mustahil untuk dilaksanakan.

Di Hospital Al-Shifa di Gaza, Dr Nasser Bulbul berkata kakitangan menghadapi kekurangan bekalan perubatan, ventilator dan ubat-ubatan penting untuk menyelamatkan nyawa.

“Kami mendapati peningkatan kes kelahiran pramatang. Kami terpaksa melakukan kelahiran pramatang dari kandungan ibu semasa dia hampir mati.

"Ramai daripada bayi ini adalah yatim piatu dan kami tidak mengetahui nasib saudara mereka atau mempunyai maklumat tentang identiti mereka.

"Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana kami menghadapi kekurangan bekalan perubatan, ventilator dan ubat-ubatan penting yang menyelamatkan nyawa," katanya.

Pada Khamis, Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan senarai nama dan nombor pengenalan 7,300 orang yang terbunuh sejak permulaan perang, termasuk lebih 3,000 kanak-kanak bawah umur dan lebih 1,500 wanita.