Skip to main content

Dunia

UK gesa TikTok padam video pandu lawan arus selepas kemalangan ragut tujuh nyawa

TIKTOK USER
- Gambar hiasan/REUTERS
Advertisement

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) menggesa TikTok memadam video pemanduan lawan arus selepas kemalangan maut yang meragut nyawa tujuh orang awal Sabtu, lapor PA Media/dpa.

Menteri Pertahanan Luke Pollard berkata pada Isnin bahawa kerajaan akan mewajibkan platform media sosial memadam kandungan berbahaya berkaitan pemanduan lawan arus, namun pada masa sama menggesa syarikat media sosial bertindak secara proaktif untuk menyingkirkan video berkenaan.

Pegawai polis Matthew Blades, 37, dan Tom Clough, 38, maut apabila sebuah Volkswagen Passat, yang sebelum itu dikejar polis, dipandu melawan arus di sebuah lebuh raya dua lorong di timur laut England sebelum merempuh kenderaan bersenjata polis.

Cole Robert Worthy, 17, Theo Rae, 17, Makai Saddington, 18, serta Michael Robert Cahill dan Jacob Matusiak, masing-masing berusia 23 tahun, turut disahkan maut di tempat kejadian di Teesside awal Sabtu.

Rekod mahkamah menunjukkan Saddington didakwa menyerang seorang pegawai polis serta menyebabkan kebimbangan atau tekanan berunsur perkauman di Middlesbrough pada 9 Jun.

Dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teesside pada 17 Julai atas pertuduhan berkenaan dan sedang menunggu perbicaraan.

Saddington juga dilaporkan terbabit dalam rakaman video pemanduan berbahaya untuk TikTok sebelum kemalangan maut itu berlaku.

Pollard yang bercakap kepada penyiar BBC berkata bahawa kerajaan berhubung dengan platform media sosial yang menjadi hos kepada kandungan yang mengagungkan tingkah laku berbahaya di jalan raya supaya memadam kandungan berkenaan.

"Kita semua perlu memberi masa kepada polis, tetapi pada masa sama ada perkara yang boleh kita lakukan untuk memastikan internet menjadi tempat yang lebih selamat untuk semua dan tidak mengagungkan serta meningkatkan tontonan, sekali gus memberikan insentif kewangan kepada mereka yang menghasilkan kandungan mengerikan seperti itu," katanya.

Beliau berkata syarikat media sosial perlu mengambil tindakan dan menjadikan isu itu sebagai peluang untuk membuktikan bahawa mereka mampu mengawal kandungan sendiri. Ini adalah peluang terbaik untuk membuktikannya. Padamkan kandungan yang mengagungkan tingkah laku berbahaya di jalan raya.

"Sementara kandungan itu masih dalam talian, kerajaan akan menggunakan kuasa di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian untuk memaksa platform memadamkannya," katanya.

Pesuruhjaya Polis dan Jenayah Cleveland, Matt Storey, mengakui laporan mengenai video TikTok berkenaan tetapi menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi.

Beliau berkata kepada program Today BBC Radio 4 bahawa tanpa mengetahui sama ada video berkenaan mempunyai kaitan dengan kes itu, tindakan merakam diri sendiri atau melakukan perkara seumpamanya ketika memandu adalah amat tidak bertanggungjawab dan berbahaya.

Beliau berkata keadaan itu membimbangkan sekiranya kegiatan berkenaan semakin berleluasa kerana ia amat berbahaya.

Polis Cleveland melancarkan operasi mengejar pada Sabtu selepas menerima maklumat berkaitan "sejumlah insiden" yang dikaitkan dengan sebuah Passat. Kenderaan itu dikesan kamera pengecaman nombor pendaftaran automatik dan dipercayai menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang diklon, menurut Independent Office for Police Conduct (IOPC).

Sebuah kenderaan polis mengejar Passat itu selama kurang tujuh minit sebelum kereta berkenaan memasuki A66 di South Bank dan bergerak melawan arus trafik.

Polis kemudian berhenti mengejar dan meneruskan perjalanan di lorong yang betul.

Passat itu merempuh kenderaan Pc Blades dan Pc Clough kira-kira 10 saat selepas polis berhenti mengejar.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement