Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan pakej rangsangan tambahan bernilai £30 bilion bagi meningkatkan lagi pertumbuhan negara berkenaan dan mengurangkan kadar pengangguran susulan COVID-19.

Pakej berkenaan termasuk pelbagai insentif untuk perniagaan mengekalkan dan mengambil pekerja baru yang turut melibatkan dana untuk latihan dan projek alam sekitar.

Syarikat juga akan diberikan insentif £1,000 pound untuk setiap pekerja yang diambil bekerja semula manakala pekerja baharu akan dibayar selama 6 bulan dengan peruntukkan £2 bilion pound.

Pakej rangsangan akan turut membantu sektor pelancongan dan hospitaliti yang teruk terjejas.

Menurut Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak pakej rangsangan tersebut turut melibatkan pemotongan cukai bersasar dan program diskaun untuk makan di restoran untuk galakkan orang ramai makan di restoran daripada Isnin ke Rabu dengan diskaun maksimum £10 seorang.

“Kami telah mengambil tindakan untuk melindungi ekonomi, tetapi rakyat khuatir dengan risiko kehilangan pekerjaan dengan kadar pengangguran yang meningkat.

“Kami tidak akan membiarkan perkara ini dan akan melakukan semua yang kami mampu untuk memberi peluang pekerjaan kerja jadi hari ini kita bertindak dengan rancangan untuk menyelamatkan sektor pekerjaan," katanya.



Kadar pengangguran UK kini dilaporkan pada tahap 3.9% namun Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat kepada 15% dalam gelombang kedua jangkitan COVID-19.

UK sebelum ini mengumumkan pakej rangsangan pada Mac lalu bernilai £330 bilion bagi menopang ekonomi yang kucar kacir akibat COVID-19.