PEMENANG Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABPBH35), Bell Ngasri teruja menerima hadiah kereta jenama Mini Cooper Clubman S bernilai RM200,000 tajaan syarikat kenderaan DTC Motors pada Isnin.

Kereta tersebut diserahkan kepada Bell atau nama sebenarnya Ngasrizal Ngasri, 43, oleh penyampai Hot FM iaitu Khairy Jamaluddin dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motors Sdn Bhd, Afendy Wahid.

Bell yang cukup sinonim dengan watak Barkoba itu mengakui tidak pernah menyangka mendapat hadiah berupa sebuah kereta mewah.

“Saya tidak tahu nak cakap apa kerana tidak pernah mendapat hadiah semewah ini. Apa pun jenis kereta yang diberikan saya tidak kisah dan terima dengan hati terbuka kerana ia tetap penghargaan buat saya.

“Kalau diberikan kereta Kancil pun saya sudah rasa seronok, tetapi hari ini mereka bagi saya kereta ini (Mini Cooper). Saya sangat suka kereta ini kerana ia menepati cita rasa dan merupakan kereta idaman saya dan isteri. Syukur alhamdulillah,” ujar Bell.

Bintang berusia 43 tahun itu turut ditemani ibu, isteri dan keluarganya yang turut sama meraikan kejayaan terbesar Bell selepas 37 tahun dalam industri seni.

Tambah Bell, kejayaan yang diperoleh itu sangat bermakna buatnya sebagai anak seni, apatah lagi melihat sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat dan seluruh rakyat Malaysia yang berkongsi kegembiraan sama.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Dapat trofi sahaja pun saya sudah bersyukur kerana penghargaan yang diberikan ini cukup dahsyat dalam kerjaya saya,” katanya.

Baru-baru ini Hot FM menerusi melalui segmen Bekpes Hot dikendalikan penyampai stesen radio Hot FM iaitu KJ, wakil DTC Motors menyatakan hasrat mereka menghadiahkan Bell sebuah kenderaan sebagai sumbangan peribadi atas kejayaannya bergelar Bintang Paling Popular. - Sinar Harian