Isu pengasingan bahasa dalam beberapa kategori di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) akan diperhalusi sehingga satu keputusan dicapai.

Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman, perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa kepada kementerian berkaitan bersama pihak strategik Persatuan Penerbit Filem (PFM).

"Setelah mengambil kira pandangan dari pemain industri, saya akan berbincang mengenai perkara ini dengan PFM dan kementerian.

"Buat masa ini pencalonan dan kategori di FFM28 masih kekal sama," katanya selepas sesi penjelasan #TanyaFinas 2.0 pada Isnin.

Perbincangan dalam sesi itu tertumpu kepada isu pengasingan bahasa dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik di FFM28 serta isu penganjuran FFM.

BACA: Pendekatan dilaksana untuk kekalkan identiti berimej Filem Nasional - PFM

BACA: Tiada beza filem Bahasa Malaysia atau Bukan Bahasa Malaysia - KP Finas

Kamil berkata, sesi perbincangan tersebut mencapai tujuannya apabila ramai pemain industri turun padang bersama-sama memberi pandangan.

Dalam masa yang sama beliau tidak menolak kemungkinan ada perubahan yang akan dilakukan dalam industri filem Malaysia pada masa akan datang.

"Mungkin selepas ini kita akan adakan dua atau tiga festival filem, tertakluk kepada keputusan perbincangan yang mana kita mengambil kira beberapa cadangan dan idea yang diberikan oleh pemain industri," katanya.

Ahli-ahli panel bersama dalam sesi perbincangan itu adalah Presiden PFM, Datuk Yusof Haslam dan Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Pansha Nallia.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan PFM berkata pengasingan bahasa dalam beberapa kategori adalah tertakluk kepada kriteria 70 peratus Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan yang menjadi syarat dalam kategori Filem Terbaik FFM.

Sesi perbincangan yang diadakan di Pitching Centre Platinum Sentral itu turut dihadiri ramai penggiat seni tanah air seperti Pengarah Filem Datin Paduka Shuhaimi Baba, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Datuk Norman Abdul Halim, penerbit filem dan drama Mohd Noor Kadir, pelakon Sharifah Amani dan ramai lagi.

BACA: Selepas umum tarik diri, Mohd Noor Kassim hasrat pulangkan trofi FFM

BACA: Saya akan teliti isu kontroversi FFM28 - Salleh Said