JOHOR BAHRU: Seramai 176 ketua isi rumah di Kampung Melayu Majidee di sini yang kediaman mereka terjejas akibat ribut semalam, akan menerima bantuan berjumlah RM3,000.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bantuan itu akan disalurkan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan Pejabat Menteri Besar Johor dengan masing-masing berjumlah RM1,000.

"Saya berkesempatan turun ke kawasan berkenaan bagi menziarah dan mendengar rintihan mangsa yang terlibat serta melihat tahap kerosakan.

"Justeru, kerajaan negeri bersetuju untuk meluluskan peruntukan segera bagi setiap isi rumah terjejas," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor kerana turut bersama turun padang bagi melawat mangsa terjejas.

Kejadian ribut yang berlaku sekitar 2.48 petang semalam itu turut menyebabkan tiga kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang.

Sementara itu, Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar berkata kepada pemberita selepas melawat kediaman mangsa terjejas memaklumkan, peruntukan itu bertujuan menyelesaikan keperluan jangka masa pendek mangsa terlibat.

"Data penerima yang layak akan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum peruntukan boleh disalurkan. Kita berharap agar peruntukan ini dapat diagih segera, selewat-lewatnya minggu depan," katanya.

-- BERNAMA