SEREMBAN: Polis menahan dua warga Indonesia bersama dadah jenis syabu dan ganja dengan jumlah berat 7,767 gram bernilai RM109,298, berhampiran parkir kenderaan awam Hospital Tuanku Ja'afar, (HTJ) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata anggota unit rondaan telah melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berumur 38 tahun dan 27 tahun itu yang menaiki sebuah kenderaan mencurigakan di kawasan tersebut.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut telah menjumpai empat bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki syabu anggaran berat 2,683 gram serta lima ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja (5,084 gram).

"Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar Seremban dan Port Dickson selain untuk kegunaan sendiri. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1,000 penagih," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nanda berkata suspek yang juga penganggur itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan turut disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata ujian awal air kencing kedua-dua suspek dikesan positif dadah jenis Methamphetamine dan kini ditahan reman selama 14 hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 108A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan di bawah Akta Imigresen.

-- BERNAMA