KUALA LUMPUR: Menyulam cinta selama lapan tahun bersama Ezza Yusof, Remy Ishak liku kehidupan yang dilalui mereka amat luar biasa.

Berkongsi perjalanan kisah cinta mereka, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 39, mengakui, selama tempoh itu menyebabkan bakal suri hatinya amat memahami lumrah kehidupan seorang selebriti.

Walaupun tali pertunangan dua tahun mereka berakhir pada 2019, namun ujian itu menjadikan mereka lebih matang dalam perhubungan.

"Saya tidak boleh terburu-buru buat keputusan untuk berkenalan dengan seorang wanita hanya kerana dia tidak memahami karier saya, dunia glamor selebriti ini dan saya kena tinggalkan dia dan terus mengenali wanita lain dan lain dan seterusnya. 

"Saya rasa benda itu tidak akan membantu saya, kerana sampai bila-bila pun tidak akan ada orang faham tentang dunia selebriti dan glamor ini.

BACA: EKSKLUSIF: Remy Ishak sahkan bernikah Sabtu ini

BACA: Remy Ishak akui berdebar hitung hari bahagia

"Cemburu itu akan ada dan susah untuk dibendung. Perempuan, saya faham memang cemburu tapi yang boleh faham situasi dan kerjaya itu susah, memang susah," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Justeru pelakon filem Sangkar dan Cun itu perlu mengambil masa menerangkan beberapa perkara tentang dunia selebriti kepada Ezza atau nama sebenarnya Roszaliza Yusof, 38.

Mengharapkan perhubungan perkahwinan yang bakal dijalinan esok itu berlanjutan sehingga ke akhir hayat, Remy mengakui, dia trauma dengan terma 'perceraian' apa lagi melihat takdir itu terjadi pada ibu dan ayahnya.

"Jadi kalau boleh saya tidak mahu benda yang sama berlaku kepada diri saya dan saya nak meneliti sebaik mungkin.

"Dalam perhubungan itu kena ada kepercayaan, kesetiaan dan sebagainya. Perkara itu menjadi semakin susah apabila saya menjadi selebriti.

"Sedangkan orang biasa pun susah untuk kekalkan hubungan yang sedia ada, macam mana sayang yang bergelar selebriti ini.

"Saya takut apabila Ezza tidak faham saya, tidak faham kerjaya saya, dia tak faham masyarakat yang akan bercakap benda yang tak mungkin berlaku," katanya.

Remy dan Ezza bakal melangsungkan pernikahan esok di sebuah masjid sekitar Kuala Lumpur dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dalam perkembangan sama, aktor kelahiran negeri Melaka itu memberi jaminan, perkahwinan tidak akan menjadi alasan kenapa dia perlu meninggalkan dunia lakonan yang sudah cukup sebati dengan jiwanya.

“Lakonan adalah minat saya, saya rasa ia adalah satu ruang untuk saya menjadi seseorang yang lain dan dapat lari dari realiti, jadi saya rasa saya akan terus berada dalam dunia lakonan”

“Saya akan terus berkarya, maknanya menjadi watak, duduk dalam cerita yang pengarah penulis skrip buat, Insya-Allah saya akan terus berada dalam industri hiburan,” ujarnya lagi.

Namun begitu, Remy bersama bakal isterinya sudah memikirkan rancangan masa depan mereka kelak termasuk mengenai cahaya mata yang mahu ditimang mereka.

Tegas Remy, sebagai bakal ketua keluarga, dia perlu mempelbagai punca pendapat dan tidak boleh selamanya bergantung pada dunia lakonan semata-mata.

“Dalam 10 tahun akan datang, kami sudah ada perancangan,”

“Lakonan tetap akan bersemadi dalam diri saya, tapi perniagaan juga perlu ada, tidaklah saya menumpukan 100  peratus hidup saya terhadap lakonan semata-mata, jadi kami akan merancangan apa lagi yang kami boleh lakukan termasuk bisnes,” tambahnya.