SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. 16,839 dos vaksin influenza lulus NPRA, diagih ke fasiliti

Sebanyak 16,839 dos vaksin influenza lulus penilaian kualiti oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan akan diagihkan ke fasiliti-fasiliti yang memohon.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, angka itu adalah sebahagian daripada sejumlah 99,470 dos vaksin influenza dijangka akan dibawa masuk pada bulan ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris di Sabah ditutup selepas enam pelajarnya dilaporkan menghidapi penyakit Influenza A atau H1N1.



2. Tingkat saringan koronavirus

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan pemantauan di pintu negara susulan penyakit koronavirus baharu (New Corona Virus - NCOV) yang kini merebak di Wuhan dan beberapa wilayah di China.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara yang diberi perhatian.

Sementara itu, Singapura mengambil tindakan sama menyediakan langkah berjaga-jaga tambahan untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak radang paru-paru disebabkan jangkitan novel koronavirus ke republik itu susulan pengesahan pihak berkuasa China ia boleh tersebar daripada manusia ke manusia.

Setakat Selasa, angka kematian akibat koronavirus baharu (New Corona Virus - NCOV) kini meningkat kepada enam orang di China.

Perkara itu disahkan oleh pihak berkuasa tempatan selepas virus itu merebak dengan cepat dan mengakibatkan kira-kira 300 mangsa dijangkiti ketika ini.


3. 'Tanpa kawan saya mungkin dah masuk penjara'

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berdepan dua tuduhan berkaitan penggubahan wang haram berjumlah RM2 juta berterima kasih kepada rakan seperjuangannya yang telah membantu dalam melunaskan bayaran wang jaminan sebanyak RM500,000.

Ahmad didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi sekeping cek.

Beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.



4. Pemantauan CRS untuk tingkat kesedaran

Pihak berkuasa akan memantau penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sepanjang operasi keselamatan jalan raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun tiada tindakan kompaun dikenakan sejak undang-undang itu berkuatkuasa pada 1 Jan, ia bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya mengenai kepentingan CRS.



5. Sukan

Liga Perdana Inggeris

Aston Villa 2 - 1 Watford
Bournemouth 3 - 1 Brighton
Crystal Palace 0 - 2 Southampton
Everton 2 - 2 Newcastle
Sheff Utd 0 - 1 Man City
Chelsea 2 - 2 Arsenal



Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Selasa di sini.