LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 70 set bubu naga sekitar 2.8 batu nautika utara Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini, pada jam 12 tengah hari Jumaat.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, kedudukan bubu naga itu dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia berdasarkan hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, kesemua bubu itu dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan dan siasatan.

“Penggunaan bubu naga di pesisir pantai boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan menyebabkan kepupusan beberapa spesies ikan sehingga boleh menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, pemilik bubu naga itu boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan memandang serius terhadap sebarang aduan mengenai sikap mementingkan keuntungan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab serta melakukan kesalahan.