KUALA LUMPUR :Sebanyak 823 kes baharu positif COVID-19 direkodkan hari ini dengan hampir 65 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah.

Pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini mencecah 26,565 dengan 9,202 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes hari baharu itu melibatkan penularan tempatan.

"Negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan sebanyak 99 kes iaitu 12 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Daripada 99 kes baharu, 44 kes iaitu 44.4 peratus adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor  Hisham berkata, 162 kes atau 19.7 peratus daripada  keseluruhan kes adalah daripada Kluster Seberang Perai, Kluster Penjara Kepayan dan Kluster Tembok.

"Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," jelasnya.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Beliau juga memaklumkan sehingga jam 12 tengah Ahad terdapat  579  kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif 17,134 kes atau 64.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Noor Hisham berkata, pada ketika ini terdapat 99 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 30 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau menambah, terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 229 kes.

Kesemua kematian itu katanya, dilaporkan di Sabah melibatkan mangsa berusia 34 hingga 80 tahun.