JERTIH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu mengagihkan kira-kira 3,000 kit makanan banjir kepada ketua isi rumah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat hari ini.

Pengarahnya Mohd Rosman Abdullah berkata jumlah tersebut diagihkan sejak gelombang pertama banjir pada November lepas hingga gelombang ketiga yang bermula Sabtu lepas.

"Jumlah itu adalah sebahagian daripada 6,000 kit makanan yang dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada APM Terengganu.

"Bilangan kit tersebut akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa daripada pihak NADMA," katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan di PPS Masjid Kampung La di Hulu Besut dekat sini petang tadi.

Mohd Rosman berkata kit segera yang mengandungi makanan asas itu adalah bekalan makanan tambahan diberikan kepada ketua isi keluarga.

Beliau berkata urusan penghantaran kit berkenaan dilakukan anggota APM menggunakan trak ke setiap PPS yang terlibat terutama apabila laluan sudah dapat dilalui kenderaan berat.

Sementara itu, beliau berkata usaha pemindahan mangsa banjir gelombang ketiga ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini, membabitkan 750 anggota dan pegawai bertugas bagi membantu dan menyelamat mangsa banjir.

-- BERNAMA