KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2022 akan menumpukan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan, atau 3R iaitu 'Recovery', 'Resilience', 'Reform'.

Tambah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sokongan kepada perniagaan akan kekal kukuh sama ada melalui skim pembiayaan mampu milik, akses lebih baik kepada kredit atau geran. 

"Bajet 2022 akan tertumpu kepada 3R dan ia bersandarkan ketelusan. Dalam memastikan semangat ketelusan, Kementerian Kewangan memperkenalkan kenyataan pra-Bajet dan empat kertas rundingan dan ia merupakan satu sejarah.

"Sehingga kini kita telah menerima 1,000 respon dan komen. Kita berhubung dan berunding dengan ramai rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan sektor," katanya dalam ucapan di Invest Malaysia 2021.

Jelasnya, pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober ini akan meneruskan langkah pemulihan sama seperti Bajet 2021.

Bantuan kewangan akan turut diberikan kepada golongan B40 dan mereka terkesan.