KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada kerajaan Kedah susulan kejadian banjir di Baling, kelmarin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan sumbangan itu akan diberikan melalui Tabung Serambi Mekah.

Beliau berkata sumbangan tersebut adalah sebagai tanda solidariti dan kebersamaan dua negeri.

"Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada mangsa bencana banjir yang berlaku di Kedah menyebabkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda.

"Semoga usaha pasukan penyelamat dipermudah dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat bagi melancarkan operasi pemulihan pascabencana," menurut kenyataan itu. - BERNAMA