MERSING: Empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di Mersing, bagi menampung jumlah mangsa yang dijangka meningkat pada minggu hadapan.

Pegawai daerahnya, Mohammed Shakib Ali, berkata persiapan itu dibuat susulan hujan yang diramal berlarutan di daerah itu, sehingga 2 Februari depan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, memaklumkan setakat ini, kesemua 12 PPS di daerah itu berada dalam keadaan terkawal

Manakala pengoperasian pusat itu cukup untuk menampung jumlah mangsa banjir sedia ada.

“Laporan daripada MetMalaysia menjangkakan cuaca signifikan hujan berterusan sehingga 30 Januari. Berkemungkinan akan sambung sehingga 2 Februari.

“Kita telah membuat persediaan untuk membuka empat lagi PPS dalam perancangan kita. Dalam pada itu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah memohon peralatan tambahan di PPS untuk menampung empat lagi buah PPS yang bakal dibuka,” katanya.

LIPUTAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI

Katanya, PPS Kompleks Taman Hutan Negara Endau Rompin yang sebelum ini menempatkan lebih 200 orang mangsa, telahpun ditutup selepas kesemua mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, pada malam Khamis.

Beliau terdahulu ditemui pemberita ketika menyerahkan sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor,  kepada 103 buah keluarga di PPS Politeknik Mersing, pada Jumaat. 

Setakat jam 4 petang, Mersing merekodkan seramai 1,790 mangsa banjir yang terdiri daripada 510 buah keluarga.